KUALA LUMPUR 26 Ogos – XOX MOBILE Sdn. Bhd. yang dimiliki sepenuhnya oleh XOX Berhad mengumumkan kerjasama dengan Mastercard untuk memperkenalkan Kad Prabayar Mastercard XOX.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan XOX MOBILE, Ng Kok Heng berkata, ini adalah sebahagian daripada rancangan syarikat untuk meningkatkan ekosistem digital kepada lebih daripada 2.5 juta pelanggan XOX MOBILE.

Katanya, Malaysia telah melihat peralihan platform kepada e-wallet dan para penyedia sedang menarik pengguna untuk menyertai platform mereka.

"Strategi kami adalah untuk melengkapkan pelanggan sedia ada dengan menjadikan gaya hidup digital mereka lebih holistik dan itu menjadi sebab kami memilih untuk bekerja dengan Mastercard."

"Kami melihat sinergi yang hebat apabila Mastercard menghampiri kami untuk bekerjasama", katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

XOX telah dianugerahkan dengan kelulusan penerbit daripada Mastercard pada bulan Mei 2019.

XOX Mobile Perkenal Kad Prabayar Mastercard XOX

Kad Prabayar Mastercard XOX

Perkembangan Kad Prabayar Mastercard XOX akan melengkapkan XOX E-Money yang sedia ada iaitu platform e-Wallet yang direka untuk pelanggan XOX MOBILE.

XOX E-Money membolehkan pengguna membuat pembelian dan mengakses promosi serta pakej eksklusif dari rangkaian peniaga yang semakin berkembang.

Sementara itu, Pengurus Negara Mastercard bagi Malaysia dan Brunei, Perry Ong berkata, rakyat Malaysia sedang menikmati gaya hidup digital dan perniagaan perlu terus maju dengan penyelesaian kreatif untuk memenuhi permintaan pasaran dan meningkatkan pengalaman pelanggan menerusi inovasi dan kerjasama.

"Perkongsian dengan XOX MOBILE datang pada masa yang tepat kerana kerjasama ini dapat memenuhi keperluan untuk kemudahan, keselamatan dan kelajuan yang lebih besar dalam semua aspek digital termasuk pembayaran", ujarnya.

Pengeluaran Prabayar Mastercard XOX dijangka menjelang akhir 2019 atau awal 2020.

Sumber: UTUSAN ONLINE